Kepimpinan

Kempimpinan Islah dan Kedaulatan
 

Kepimpinan, Islah dan Kedaulatan

 

Keadaan sekarang memang jah berbeza dengan zaman penjajahan. Pada zaman penjajahan, focus kepimpinan adalah pemerintahan koloni, bukannya agama, Negara dan bangsa. Dengan cabaran dan pengaruh globalisasi dan perubahan sosio-ekonomi dunia yang menumpu aspek ekonomi dan politik semata-mata dan mengenepikan prinsip agama telah melahirkan prinsip ‘naturalisme’ hasil dari pandangan alam sekular-humanisme. Naturalisme kini merupakan elemen utama sekular-humanisme yang hanya mengesahkan nilai kepuasan hawa nafsu dan kebahagiaan duniawi.

 

Bagi menghadapi cabaran ini dengan berkesan, keunggulan dalam setiap aspek tadbir urus Negara perlulah menzahirkan satu bentuk kepimpinan yang beradab, beramanah, adil dan berwibawa yang dikehendaki oleh agama dalam konteks pembinaan sebuah Negara yang berperadaban tinggi.

Catatan

Pemimpin Islah

 

Tanggungjawab kepimpinan tidak boleh diamanahkan kepada orang yang bergerak diatas dasar emosi perkauman dan bersikap ekstrim sama ada dalam soal keduniaan mahupun agama.

 

Orang yang sering melakukan perbuatan yang melampui had kebenaran  sering melakukan kesilapan diluar fitrah dan sering bertindak melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan. Mereka biasanya kelihatan seperti menderitai keresahan jiwa dan krisis psikologi yakni satu keadaan yang menayangkan kehilangan hikmah. Mereka dilihat sukar menghapuskan kekusutan jiwa akibat krisis keimanan yang berlaku didalam diri mereka.

 

Kepimpinan metilah dianggotai oleh individu yang tinggi martabat akalnya, beradab serta berakhlak,  bijaksana, progresif, dan memenuhi potensi dengan sewajarnya. Maulana Iqbal menyebut “orang yang berwatak kuat akan berusaha mengempur langit angkasa”. Mereka mestilah sentiasa mempunyai kepekaan akhlak yang tinggi agar apa saja tindakan dan perbuatan mereka itu akan menghasilkan ‘islah’.

 

Islah adalah pancaran adab yang menyangkan keadaan yang terhasil melalui segala rupa bentuk amal usaha kepimpinan yang bersungguh-sungguh dan penuh ikhlas bagi mengembalikan keindahan yang lengkap sempurna (al-hasanah) bagi sesuatu perkara dan benda supaya sesuai dengan hakikat penciptaanya. Pola kehidupan hasanah meliputi kehidupan yang baik, tertib, adil, dan sejajar dengan nilai yang tinggi.

 

Pola yang meyimpang daripada fitrah insaniah lalu mengakibatkan keadaan berlawanan disebut sebagai ‘fasad’. Fasad meliputi merosakan, menzalimi, menyeleweng, merosot, membazir, mengacau dan sebagainya. Pemimpin atau ketua yang fasad akan mengamal (tanpa disedari atau tidak) kepimpinan yang merosakan kerana amalan itu melanggar faham hikmah, faham keadilan , faham hakikat dan kebenaran (haqq), sehingga mengakibatkan sesuatu itu tidak lagi berada pada tempatnya mengikut darjat dan martabat yang sedia layak teradat padanya dalam hubungan dengan potensi dan keupayaan sesuatu itu dari segi fizikal, intelektual dan kerohanian.

 

Contoh yang paling lumrah adalah pembangunan satu sistem pentadbiran yang berintegriti. Jika atas dasar ‘favouratism’ atau ‘bias’, sistem itu diamanahkan kepada seorang anggota organisasi yang tidak berakhlak , tidak mempunyai daya fikiran yang tinggi, dan seringkali cuai serta tidak cekap dalam melaksanakannya,maka sistem itu jelas dilaksanakan dalam konteks fasad.

 

Pemimpin yang berhikmah akan mengenali erti pengorbanan yang tulen, keikhlasannya tidak boleh disangsikan, sifat amanahnya tidak dapat dicurigai dan kejujurannya tidak boleh diragui. Dia juga tidak mudah terpesona dengan kegemilangan dan kehebatan dunia, dia kan bertimbang rasa serta adil kepada sesiapa sahaja yang berhak kepada sesuatu bantuan dan perlindungan.

 

Penyuburan budi pekerti luhur

 

Pemimpin yan luhur budi pekertinya melakukan tugasan dengan penuh hikmah, berani, berintegriti, adil, ikhlas, cekap dan berkesan bagi mengelak kepincangan dalam perjalanan tugasan dan tanggungjawab.

 

Budi pekerti yang luhur (fadhilah/virtue) dan adab adalah dua perkara yang amat mustahak untuk diajar dengan sempurna di mana-mana pusat latihan atau institusi. Budi pekerti yang luhur dan beradab di kalangan pemimpin bukan hanya boleh dizahirkan melalui undang-undang.

 

Pemimpin mestilah sentiasa sedar bahawa tanggungjawab mereka adalah berkisar kepada soal membuat keputusan yang adil dan mengambil tindakan yang betul dan wajar yang boleh menghasilkan manfaat yang sempurna.

 

Dalam pepatah melayu ada menyebut, “rosak kelapa kerana salah kukur, rosak manusia kerana salah atur.”. Sejajar dengan hadis Nabi s.a.w., “sesiapa yang memimpin urusan umat Islam, apabila dia melantik sesorang sedangkan ada orang lain yang lebih baik, memegang jawatan itu, maka dia telah melakukan pengkhianatan terhadap Tuhan, mengkhianati Rasulullah dan juga orang mukmin.”

 

Hadis ini memberi pedoman bahawa seseorang yang dilantik untuk memimpin sesebuah organisasi tidak patut hanya dilihat dari segi kepandaiannya  dalam mendapatkan jawatan tersebut, apa yang penting ialah penilaian dari segi amalan kepimpinannya yang dapat menyumbang kepada saru bentuk pembangunan yang bersifat menyeluruh sehingga terhasilnya kebajikan yang sebenar terhadap masyarakat.

 

Maslahah pada dasarnya menayangkan daya usaha manusia untuk memperolehi manfaah dan menghindari madarrah. Maslahah menayangkan daya usaha manusia untuk mencapai arah kebajikan dan kebahagiaan. Maslahah mesti dikaitkan dengan kewajiban sesorang Muslim untuk memelihara matlamat syariah (maqsid al-shar).

 

Apabila kerangka pemikiran seseorang yang terlibat dalam memimpin aspek pembangunan disuburkan berdasarkan ilmu dan kebenaran, maka dia akan berupaya untuk melahirkan potensi-potensi yang baik yang terdapat dalam dua aspek keistimewaan yakni ilmu pengetahuan dan peradaban. Syed Muhammad Naquib Al-Attas menulis mengenai menafaat dan sumbangan sebenar kebahagiaan (al-sa’adah): “Kesejahteraan dan “kebahagiaan” itu bukan dirujuk kepada sifat badani dan jasmani insan, bukan kepada diri hayawani sifat basyari, dan bukan pula sesuatu keadaan akal-fikri insan yang hanya dapat di dinikmati dalam alam fikiran dan nazar akli belaka. Kesejahteraan dan kebahagiaan itu akan merujuk kepada keyakinan diri akan Hakikat Terakhir yang mutlak yang di cari-cari.”

 

Kebahagian juga dibahagikan kepada tiga aspek mengikut keutamaan berikut:

 

Pertama, pembangunan yang tertumpu kepada daya usaha bagi melahirkan potensi yang berkaitan dengan diri (nafsiyyah) iaitu yang melibatkan ilmu dan sifat yang terpuji

 

Kedua, pembangunan yang tertumpu kepada daya usaha bagi melahirkan potensi yang berkaitan dengan badan (badaniyyah) seperti kesihatan tubuh badan dan keselamatan dan

 

Ketiga, pembangunan yang tertumpu kepada daya usaha bagi melahirkan potensi yang berkaitan dengan yang selain dari diri dan badan (kharijiyyah) seperti kekayaan dan selainnya yang menggalakan kesejahteraan diri, badan dan perkara yang berkait dengannya.

 

Kepimpinan dan Prinsip

 

Dalam konteks Malaysia yang pelbagai bangsa dan agama yang dipacu oleh matlamat yang terkandung di sebalik Rukun Negara, ukuran akhir yang sepatutnya menentukan nilai segala tindakan pemimpin mestilah berpaksikan kepada kepercayaan kepada Tuhan. Hakikatnya teras penting kepimpinan berpaksikan kepercayaan kepada Tuhan menjadi aspek penting kepada:

 

  1. Hubungan manusia dengan Tuhan
  2. Hubungan manusia dengan dirinya sendiri
  3. Hubungan manusia dengan sesama manusia
  4. Hubungan manusia dengan alam dan makhluk selain dari manusia

 

Ini juga memberi implikasi bahawa ada empat perkara penting yang perlu diutamakan iaitu:

 

Pertama, pelaksanaan amanah kepimpinan secara sempurna adalah tanggungjawab agama kerana melakukan khidmat untuk kebajikan masyarakat adalah satu ibadah.

 

Kedua, memimpin dengan jujur dan ikhlas supaya setiap amalan menjadi amalan yang saleh yang menyumbang kepada ketinggian darjat dan nilai masyarakat.

 

Ketiga, memastikan supaya lahirnya bentuk perhubungan di kalangan manusia berlandaskan keadilan yang memerlukan setiap pemimpin mempunyai keberanian untuk menilai diri sendiri dan orang lain secara tegas berlandaskan ilmu dan kebenaran dan bukan berasaskan persepsi, sentiment, emosi dan hawa nafsu.

 

Keempat, berusaha sedaya upaya agar setiap usaha yang dilakukan itu tidak mendatangkan kerosakan diatas muka bumi sehingga meruntuhkan prinsip dasar peradaban masyarakat Malaysia.

 

Setiap pemimpin mestilah menghayati perkara ini dengan bersungguh-sungguh kerana ini mampu mengekang sikap-sikap negatif seperti mementingkan kepentingan peribadi dan bersifat kebendaan, menumpukan kepada perkara yang remeh-temeh, hasad dengki, tidak mengenang budi, melakukan tugas secara sambil lewa, tergopoh-gopoh dalam menentukan dan membuat keputusan.

 

 

Prinsip Keadilan dalam Pelaksanaan Tanggungjawab

 

Dalam Islam, mengurangkan dan kepentingan orang lain tetapi sebaliknya melebihkan sesuatu yang membawa kepada kepentingan peribadinya adalah dianggap zalim. Kebanyakan pemimpin atau ketua sekarang tentunya mengetahui apa yang mereka alami (tanpa disedari atau tidak) tentang bagaimana mereka mahukan jawatan, pangkat dan kedudukan dan apabila mereka diberi ‘kerusi’ tersebut mereka tidak menjalankan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan.

 

Tanda kepimpinan yang hilang adabnya kerana tidak tahu memberi khidmat kepimpinan yang sempurna kepada orang lain sebagaimana dan sebanyak mana orang lain itu berbuat baik untuk dirinya. Biasanya mereka akan meminta orang lain membuat sesuatu secara sempurna untuk kepentingan dirinya sendiri atau pihak yang mewakilinya. Orang sebegini kini boleh dikatakan tidak waras.

 

Kalau kita tidak suka orang melambatkan urusan-urusan kita, maka janganlah dilambatkan atau menghalang urusan orang lain. Kalau kita mahu orang tidak menipu kita, janganlah kita suka menganayai orang lain. Paling biasa,  ‘hormati lah orang lain jika kita mahu dihormati.’

 

Pemimpin atau ketua yang sentiasa menghalang urusan orang lain biasanya sentiasa membawa sikap negative terhadap orang lain dan ini adalah tanda kepada seorang yang lemah (pettiness) dan cetek akal fikiran (narrowness of mind). Rasulullah s.a.w. bersabda dengan maksud “Sebaik-baik orang yang berakal adalah orang yang mampu memikirkan akibat daripada sesuatu perbuatan yang dilakukannya.”

 

Seseorang pemimpin perlu mengasuh dirinya dan orang dibawah kepimpinannya supaya bekerja sambil memikir dan memikir untuk membuat keputusan untuk bertindak dengan bijak. Tiada guna hanya berfikir tanpa bertindak dengan menghasilkan keputusan yang sewajarnya.

 

Ramai pemimpin kurang dan tidak menggunakan sepenuhnya daya fikirannya ketika melaksanakan kepimpinannya yang mungkin hanya mengharapkan dan secara biasanya bersetuju dengan pandangan dan pendapat penasihat mereka yang munafik dan kufur.

 

Sebenarnya sesuatu usaha yang baik bukan lah semestinya besar, menunjukkan muka yang manis, memberi senyuman yang ikhlas , bertutur dengan jujur , telus dan ikhlas adalah usaha yang perlu ditunjukkan pemimpin. Namun kebanyakan pemimpin masa kini, manis di mulut hati bersalut najis, dan ada juga yang muka masam macam cuka, body language yang sombong, bongkak, dan sudah tentunya mereka yang bekerja dalam organisasi akan tidak sudi memberi kerjasama dengan baik,

 

 Setiap pemimpin harus faham bahawa kejayaan sesuatu masyarakat bukan disebabkan oleh pemimpin yang memimpin organisasi, kejayaan bergantung kepada kesudian masyarakat memberi kerjasama yang baik dalam mengerjakan tugasan yang diberi.

 

Masyarakat didalam organisasi amat memerlukan system kepimpinan yang berintegriti dan berakauntabilit yang meliputi tiga aspek:

 

  1. Selia-kawal diri dari pemimpin
  2. Etika professional dari pemimpin
  3. Tadbir diri yang baik (good governance) dari pemimpin

 

Organisasi itu akan sentiasa bergerak atas landasan yang betul serta dapat menghasilkan perancangan dan keputusan yang bijak jika mereka mendapati ketua mereka berjaya mengamalkan dan melaksanakan perkara tersebut.

 

Pemimpin harus mengembangkan secara halus potensi baik yang ada pada mereka agar dapat menghasilkan kepimpinan bermutu tinggi, produktif, cekap dan berkeupayaan.

 

Pemimpin juga dilihat agar bermoral dan beretika serta berpegang teguh kepada nilai agama, sentiasa berjiwa besar, berfikiran luas, mempunyai kesedaran sejarah yang tinggi, matang, berani, yakin, bijaksana, dinamik dan berstrategi.

 

Usaha bagi memantapkan sahsiahkepimpinan hendaklah berakarumbikan agama dan berfokuskan kepada pembangunan diri (development manhood) dan pembaikan/ pembangunan daya diri (remedial/developmental of human potentiality). Dari segi matlamatnya diharap dapat memupuk dan membentuk keperibadian pemimpin agar mempunyai ciri-ciri berikut:

 

  1. Memimpin dengan penuh amanah dan keikhlasan
  2. Berusaha kearah penambahbaikan
  3. Berurusan dengan penuh adab dan ketertiban
  4. Bertindak dengan cekap dan penuh ketelelitian dan
  5. Bermuafakat dengan individu-individu yang berwibawa kearah kempimpinan yang adil

 

Pelbagai usaha dan pendekatan yang terbaik perlu terus dilakukan oleh semua pemimpin bagi memahamkan, menghurai dan memastikan prinsip moral dan etika dapat diamalkan dengan baik dan terus subur sebagai budaya dalam semua aspek kepimpinan.

 

Pendidikan kepimpinan

 

Seluruh barisan kepimpinan seharusnya perlu dilibatkan secara langsung untuk mempertahankan agama, gagasan kepimpinan beradab, berakhlak, berbudaya ilmu, stabil dan dinamik agar ianya menuruti prinsip dasar agama rasmi Negara.

 

Masalah utama yang sering mengakibatkan pelanggaran prinsip moral dikalangan pemimpin adalah sifat mementingkan diri sendiri (selfishness), tamak (greed) dan bernafsu untuk mendapat kuasa dan mengejar status (desire for power and preoccupation with status). Ini akan menjadikan mereka begitu individualistik dan materialisitik sehingga terhalang daripada mencapai matlamat hidup yang tulus.

 

Pendidikan kepimpinan tidak seharusnya bersendikan kepada fahaman profesionalisme, tetapi seharusnya kepada fahaman insan yang terbit daripada pandangan alam Islam. Ini akan menjadikan seseorang itu sedar-insaf akan kemuliaan dirinya dan taklif (tanggungjawab hakiki insan) lalu melaksanakan keadilan yang sepatutnya pada dirinya itu.

 

Kepimpinan kini tidak banyak dihubungkaitkan dengan hakikat amal bagi membolehkan setiap perlakuan dan pelaksanaan sesuatu keputusan dilakukan dengan penuh kesedaran tentang akibat akhir dan kaitannya yang signifikan dengan aspek akhirat.

 

Oleh itu, faham adab dan akhlak kepimpinan dalam Islam perlu benar-benar dipertimbangkan dan diberi keutamaan yang wajar kerana menafaatnya yang besar bukan sahaja kepada kaum muslimin tetapi juga dalam konteks Negara yang berbilang bangsa dan agama.

 

Sebarang program pendidikan kepimpinan organisasi perlu berfokuskan kepada;

 

  1. Pemurniaan diri rohani (purification of self)
  2. Penguasaan ilmu-ilmu teras yang dapat mengukuhkan kefahaman tentang adab dan akhlak
  3. Pemupukan budaya kepimpinan yang berteraskan ilmu dan kebenaran

 

Subjek dan topik penting yang perlu diliputi dalam pendidikan dan latihan yang berkaitan dengan etika kepimpinan boleh dibahagikan kepada aspek teras dan pragmatik.  Aspek teras merangkumi soal espitemologi, ontology, metafizik, kosmologi, psikologi dan aksiologi yang perlu dihuraikan berteraskan pandangan umat Islam. Aspek ini menyumbang kepada kearah melahirkan peradaban manusia.  Aspek pragmatik pula berorientasikan professionalism yang membolehkan tanggungjawab kepimpinan dapat dilaksanakan dengan tertib dan beradab mengikut rencana dasar etika dan moral yang berteraskan agama.

 

Antara manafaat yang dibuahkan hasil gabungan aspek teras dan pragmatic adalah:

 

  1. Membolehkan pemimpin itu memahami sesuatu persoalan, kejadian dan fenomena serta dapat mengendalikannya dengan penuh bijaksana
  2. Mengasuh akalnya agar mampu menjangkau makna yang tersembunyi atau makna mendalaman yang terkandung di sebalik sesuatu fakta, peraturan dan peristiwa
  3. Membolehkan potensi-potensi yang baik yang terdapat dalam dirinya dikembangkan secara halus sehingga meliputi lima aspek keistimewaan yakni ilmu, pengetahuan, adab, kemahiran dan kepakaran
  4. Membolehkan dia mengenal pasti kekuatan dan kelemahan sesuatu tindakan yang hendak dilaksanakan serta pada masa yang sama, berupaya memahami dan menganalisis segala masalah yang berbangkit daripada sesuatu tindakan yang telah di ambil dan
  5. Menampilkan keupayaan dalam dirinya untuk memantapkan lagi struktur pandang alamnya sehingga ia mempunyai perspektif yang jelas dalam setiap keputusan yang dibuat dan dapat melihat secara akli akan akibat akhir daripada sesuatu tindakan yang bakal dilakukan.

 

Jika islah telah berjaya dicapai, semua pihak tanpa mengira agama dan bangsa akan dapat mengecapi nikmat keadilan. Semua pihak akan dapat merasakan kerukunan dan berpeluang merasai kemakmuran hasil daripada kecekapan kepimpinan yang dilaksanakan oleh individu yang sentiasa menghayati budaya luhur, berakhlak mulia serta mempunyai ilmu teras yang dapat memastikan tugas yang dilaksanakan sentiasa bermatlamatkan kejayaan didunia dan akhirat manakala unsur keburukan (corruption) akan dapat diawasi dan dibanteraskan.

 

Keadaan inilah yang sebenarnya dapat mengangkat darjat dan martabat seseorang pemimpin. Perjuangan moral yang bertepatan dengan prinsip agama dalam semua aspek kepimpinan perlu ditegakkan. Perjuangan yang berteraskan prinsip kebenaran dan keadan yang lahir daripada fahaman jitu tentang hakikat diri, ilmu, iman, amal dan ihsan.

 

 

 

 

Dibina pada 23 Mac 2015 dan dikemaskini pada oleh Pengendali@2006  

 

This website was created for free with Own-Free-Website.com. Would you also like to have your own website?
Sign up for free